Sejarah Penubuhan(PAS) bahagian Akhir
Penitia penaja inilah yang berusaha merangka perlembagaan serta menamakan pertubuhan yang dicita-citakan itu – iaitu dengan nama Pertubuhan Ulama Se-Malaya. Penitia ini telah berusaha mengadakan persidangan dengan persatuan-persatuan kebajikan Melayu atau Islam, Majlis Agama Islam Negeri, ulama perseorangan, para kadhi dan juga mufti.
Walaupun perhimpunan ulama dan orang perseorangan yang dianjurkan oleh Bahagian Agama UMNO itu pada mulanya berjaya menubuhkan Pertubuhan Ulama, tetapi atas inisiatif Ustaz Othman Hamzah, bekas Ahli Jawatankuasa Hizbul Muslimin yang mewakili Persatuan al-Ehya as-Syariff, Gunung Semanggol berjaya melahirkan Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) bagi menggantikan Pertubuhan Ulama Se-Malaya yang dicadangkan pada mulanya.
Maka PAS telah ditubuhkan secara rasmi hasil dari perhimpunan atau muktamar tersebut, yang antaranya turut disertai oleh:
- Persatuan guru-guru agama dari Perlis.
- Persatuan ulama dari Kedah.
- Persatuan anak-anak Kalimantan Malaya (PERKAM) Perak.
- Kelab Darul Ehsan dari Selangor.
- Kelab Melayu Bagan dari Seberang Perai.
- Persatuan al-Ehya as-Syariff, Gunong Semanggol, Perak.
- Perikatan Melayu Bersatu dari Seberang Perai dan Pulau Pinang.
- Dan lain-lain badan kebajikan, kelab atau jamaah terutamanya dari Seberang Perai dan Pulau Pinang.
Juga hadir sama beberapa orang Tuan Guru, wartawan, imam dan kadhi atas nama peribadi.
Adapun Perlembagaan awal PAS yang digariskan itu mempunyai empat tujuan, iaitu:
PERTAMA: Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi.
KEDUA: Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan Perlembagaan pentadbiran agama di seluruh negara.
KETIGA: Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.
KEEMPAT: Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini, yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran Islam dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.
Antara barisan kepimpinan pertama yang dilantik menerajui PAS termasuklah:
- Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan - Yang Dipertua Agung
- Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Timbalan Yang Dipertua Agung
- Tuan haji Hussin Che Dol - Naib Yang Dipertua Agung (Utara)
- Fakir Muhammad Nor - Naib Yang Dipertua Agung (Tengah)
- Abdul Rahman Jamaluddin al-Jambuli - Naib Yang Dipertua Agung (Selatan)
- Tuan Haji Ahmad Maliki - Setiausaha Agung
- Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein - Bendahari Agung
Ahli Jawatankuasa Agung pula terdiri daripada:
- Tuan Haji Yahya Joned
- Tuan Haji Uthman Talib
- Tuan Haji Mohammad Nor
- Tuan Haji Zabidi Ali
- Tuan Haji Abdul Wahab
- Tuan Haji Assaiya
- Muhammad Mahzub
- Tuan Haji Ahmad Nadur.
Jika dilihat kepada persatuan, peribadi dan jumlah yang hadir semasa perhimpunan atau muktamar penubuhan PAS itu, yang kebanyakannya terdiri dari tokoh-tokoh agama, maka secara tidak langsung menunjukkan bahawa elemen dan semangat perjuangan Islam telah tersemai bersama PAS semenjak awal penubuhannya lagi.
Elemen Islam dalam PAS ini lebih terserlah lagi apabila usaha yang dibawa oleh Yang Dipertua Agung Pertamanya, Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan untuk menyetujui gagasan National Conference tajaan Dato’ Onn Jaafar (ramai yang berpendapat di sini bahawa Haji Ahmad Fuad mungkin terpengaruh dengan cara politik Dato’ Onn yang juga merupakan rakan karib beliau) tidak diterima oleh ahli dan penyokong-penyokong PAS.
Kegagalan Haji Ahmad Fuad mendapatkan sokongan ahli dan penyokong-penyokong PAS ini sekali lagi menunjukkan bahawa kesedaran mendalam mengenai politik Islam di kalangan ahli dan penyokongnya telah wujud walaupun PAS sendiri ketika itu masih berada pada tahap yang lemah.
Akhirnya, dalam satu Perhimpunan Khas pada September 1953, Haji Ahmad Fuad terpaksa mengambil jalan keluar dengan meninggalkan PAS bagi bersama-sama Dato’ Onn (menyertai Parti Negara).
Kesedaran Islam di kalangan ahli dan penyokong PAS inilah yang menjadikan satu ciri keistimewaan kepada perjuangan PAS walaupun sepanjang sejarah perjuangannya ramai di kalangan pemimpin atasnya meninggalkan parti, namun parti terus hidup, malah lebih kental dan subur.



















No comments yet.